Ahad, 22 September 2013

Sejarah VAT 69 KOMANDO

Pada 16 Jun 1948 keadaan darurat telah diisytiharkan di Perak dan diseluruh Malaya setelah beberapa siri serangan dan pembunuhan dilakukan oleh anggota-anggota gerila Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap beberapa pemilik ladang getah berketurunan Inggeris. Konflik seterusnya menyaksikan bagaimana tentera British, Komenwel dan Pasukan Polis Malaya terlibat dalam kempen peperangan gerila di kampung, bandar dan hutan belantara selama 12 tahun.

Menjelang 1960, gerila PKM dipaksa berundur ke selatan Thailand setelah mengalami kekalahan serta gagal meyakinkan rakyat agar bertindak bangun menentang pihak berkuasa. Ini kerana pada tahun 1957, London telah bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Malaya dan retorik bahawa pihak berkuasa bersekongkol dengan penjajah agar negara ini terus berada di bawah penguasaan British tidak lagi dapat diterima umum. Kekuatan sayap bersenjata PKM juga merosot kepada kurang dari 800 anggota. Kira-kira 6000 anggota mereka terbunuh dalam tempoh 12 tahun sepanjang Darurat yang dikenali sebagai 'Darurat I'. Pada 13 Julai 1960, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan tamatnya Darurat I.

Antara 1966 dan 1967, kira-kira 90 kem MNLA telah berjaya dikesan oleh pihak berkuasa. Berkeyakinan dengan kekuatan baru dan kawasan perlindungan selamat di selatan Thailand, pada tahun 17 Jun 1968, MNLA telah melakukan satu serang hendap terhadap konvoi kenderaan Pasukan Polis Hutan daripada Batalion Pertama yang berpengkalan di Ulu Kinta yang ketika itu sedang melalui jalan di Kroh-Betong, utara Perak. Dalam kejadian ini lima buah kenderaan polis yang bergerak perlahan membawa anggota yang bakal menyertai 'Ops Sawadee Salam' di serang hendap mengakibatkan 17 anggota polis terbunuh dan 16 lagi tercedera. Ini adalah titik hitam menandakan bermulanya Darurat II yang bakal berterusan selama 20 tahun.

Pihak Kerajaan sedar mengenai ancaman PKM ini dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada ketika itu, Allahyarham Tun Dr.Ismail Bin Dato' Abdul Rahman mencadangkan agar pihak Pasukan Polis Hutan menubuhkan satu unit khusus bagi menangani masalah tersebut. Unit ini adalah sebuah 'Task Force' atau unit baru yang dibangunkan untuk menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan MNLA secara bukan konvensional. Apa yang diketengahkan oleh oleh Tun Dr.Ismail ketika itu ialah menggunakan taktik dan teknik perang gerila untuk menumpaskan pasukan gerila, atau secara mudah, mengaplikasikan doktrin, cara operasi dan taktik medan tempur yang sama diguna pakai oleh pihak musuh ketika itu untuk menumpaskannya.

Penubuhan unit khas ini dipertanggungjawabkan kepada Pengarah Keselamatan Dalam Negeri serta Ketenteraman Awam di Bukit Aman, iaitu Dato' Merican Sutan. Beliau pernah melihat peranan yang dimainkan oleh unit-unit kecil pasukan khas tentera British atau lebih terkenal dengan nama Rejimen 22 SAS menetang gerila komunis ketika Darurat I. Berdasarkan pengalaman ini, Dato' Merican Sutan tela meminta agar satu detasmen kecil tenaga pengajar dari SAS dipinjamkan oleh pihak British untuk melatih anggota dan pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang bakal membentuk satu pasukan peperangan khusus.

Bagi mencari individu-individu yang benar-benar layak untuk menyertai unit elit dari kalangan anggota dan pegawai Polis DiRaja Malaysia bukanlah suatu perkara yang mudah. Seramai 1 600 orang pegawai dan anggota PPH (Pasukan Polis Hutan) telah menghadiri pemilihan awal yang dikendalikan oleh Rejimen 22, Bitish Special Air Service secara sukarela, tetapi cuma seramai 60 orang sahaja yang lulus untuk mengikuti kursus asas Komando yang dikendalikan di Fort Kemar, satu kawasan pedalaman di Perak. Kawasan ini hakikatnya adalah sebuah kawasan yang dianggap 'aktif' sehinggakan bekalan logistik dan anggota hanya boleh dihantar dengan selamat melalui jalan udara. Setelah latihan berakhir, hanya seramai 36 orang pegawai dan anggota sahaja yang layak terpilih menyertai unit baru ini. British SAS terus melatih unit ini bagi tujuan pembesarannya sehingga New Zeland SAS pula mengambil alih tugas sama bermula pada tahun 1976.#TheNewChurp2 http://my.sharings.cc/p/4JiTC